Wednesday 4 October 2017

Assalamualaikum dan salam sejahtera. 

Semoga pembaca-pembaca diberikan rahmat dan diberikan ingatan yang berkekalan setelah membaca perkongsian ilmu yang tidak seberapa ini :)
Perkongsian pada minggu ini ialah mengenai peranan diksi dan analisis jenis ayat.
 
Selamat membaca :)

Peranan Diksi
Apakah yang dikatakan peranan diksi? Oleh itu, marilah kita sama-sama mempelajarinya.
Peranan merupakan satu watak atau tugas (bahagian, pekerjaan) yang dilakukan untuk menjayakan sesuatu (Kamus Pelajar Edisi Kedua). Manakala, merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, diksi merupakan pemilihan dan penggunaan kata yang tepat dan berkesan untuk mengungkapkan idea (peristiwa dll) secara bertulis atau lisan.

Maka, peranan diksi merupakan satu bahagian yang perlu dilakukan bagi menghasilkan penulisan atau ungkapan yang berkualiti melalui penggunaan kata yang tepat sama ada dalam cerpen, novel, drama mahupun puisi.

Diksi yang baik dapat dilihat pada pemilihan kata yang tepat, penggunaan kata yang munasabah dan penggunaan kata yang jelas dan khusus. Diksi juga dikatakan mempunyai hubungan yang rapat dengan pembinaan ayat.
 
Zainal Arifin(2008:28), diksi adalah pilihan kata. Kita memilih kata yang yang tepat untuk menyatakan sesuatu . Bukan sahaja memilih kata yang tepat, namun ia juga memilih ayat yang sesuai.
 
Konotatif dan Denotatif?
 
Apakah yang dimaksudkan dengan konotatif dan denotatif. Denotatif bermaksud makna asli dan asal manakala konotatif bermaksud membawa maksud yang lain.
 
      Sebagai Contoh :
          Kaki Ayam
              Denotatif - kaki ayam(ayam adalah haiwan yang berkaki dua)
              Konotatif- orang yang tidak memakai kasut/selipar

Peranan Diksi
Diksi dalam karya sastera berperanan sebagai:
1. Pembaca atau pendengar mudah memahami tentang apa yang disampaikan oleh pengarang.
2. Proses komunikasi lebih berkesan.
3. Melambangkan ekspresi (bertulis atau lisan).
4. Membentuk ekspresi yang menyenangkan pendengar atau pembaca.

Jenis-jenis Diksi
1. Sinonim
- pilihan kata yang memiliki persamaan makna. Penggunaan kata sinonim digunakan agar setiap perkataan yang dimaksudkan sesuai dengan ekspresi yang diungkapkan. Contohnya, mati (menunjukkan penggunaannya agak kasar), meninggal dunia (penggunaannya lebih lembut).

2. Antonim
- pilihan kata yang memiliki makna yang berlawanan atau bertentangan. Contohnya, cantik lawannya hodoh.

3. Polisemi
- frasa kata yang memiliki banyak makna.
Contohnya: 
 Kepala - i) anggota badan, ii) pemimpin, iii) peribahasa, iv) bahagian atas sesuatu benda

4. Homograf
- perkataan yang sama ejaan namun mempunyai maksud dan bunyi yang berbeza.
Contohnya: RENDANG.
a) makanan: Emak memasak rendang ayam pagi ini.
b) sifat: Pokok yang rending itu amat selesa untuk berteduh.

5. Homofon
- perkataan yang memiliki bunyi yang sama namun berbeza makna dan ejaan.
Contohnya: Bank dan bang (azan).

6. Homonim
- perkataan yang memiliki ejaan dan bunyi yang sama namun makna yang berbeza.
Contohnya: haus
a) dahaga.
b) berkurangan besar atau tebal akibat tergosok.

7. Hiponim
- perkataan yang mempunyai lingkungan dalam struktur makna.
Contoh: perabot (makna umum)
            Kerusi, meja, almari, katil, sofa (makna khusus)

8. Meronim
- perkataan yang menunjukkan hubungan sebahagian daripada.
Contohnya: atap, dinding, merupakan meronim kepada rumah.


ANALISIS JENIS AYAT
Ayat-ayat dalam bahasa Melayu terbahagi kepada empat iaitu ayat penyata, ayat seruan, ayat tanya dan ayat perintah.

1) Ayat Penyata
- ayat yang diucapkan dengan maksud untuk menyatakan atau menerangkan sesuatu hal.
Contoh:
a) Pelajar-pelajar sedang mengulangkaji pelajaran di perpustakaan.
b) Kami sekeluarga akan melancong ke Vietnam.

2. Ayat Seruan
- ayat yang digunakan untuk melahirkan perasaan seperti takut, marah, gembira, benci dan sebagainya.
- Ayat ini dimulai dengan kata seru seperti amboi, wah, cis dan sebagainya serta diakhiri dengan tanda seru (!) di akhir ayat seruan.
Contohnya:
a) Amboi, cantik-cantik semua gadis itu!
b) Cis, berani kamu pukul saya!

3. Ayat Tanya
- digunakan untuk menanyakan sesuatu hal.
- ayat ini diakhiri dengan tanda soal (?) di akhir ayat dalam tulisan.
- terdapat dua jenis ayat tanya iaitu:
a) ayat tanya tanpa kata tanya – diucapkan dengan meninggikan nada suara pada akhir ayat penyata dan diakhiri dengan tanda soal (?)
            i) Bas itu sudah bertolak?

b) ayat tanya dengan kata tanya – ayat yang menggunakan kata tanya seperti apa, siapa, bila, mana dan sebagainya.
            i) Siapakah yang berbaju melayu biru itu?

4. Ayat Perintah
- ayat yang digunakan untuk menimbulkan sesuatu tindakan.
- terdiri daripada empat jenis iaitu:
a) Ayat Suruhan
- Minumlah kopi ini dahulu.
b) Ayat Larangan
- Jangan pijak rumput itu.
- Tak usah kita campur tangan urusan orang tua.
c) Ayat Silaan
- Silakan masuk ke dalam pejabat saya.
d) Ayat Permintaan
- Tolong belikan saya sebungkus nasi lemak.

Semoga setiap yang dikongsi mampu dijadikan sebagai ilmu tambahan atau ilmu baru bagi mana-mana yang belum mengetahuinya. Bahkan, dijadikan sebagai ulangkaji bagi yang sudah berjaya menguasai bidang ini. Sesungguhnya apa yang baik itu datangnya dari Allah swt, manakala yang buruk itu datangnya dari saya sendiri. Semoga kesilapan-kesilapan yang berlaku tidak dikecam namun tegurlah secara berhemah.


Terima Kasih ;)